Friday, January 22, 2010

Terkini - tentang Kemangkatan Sultan Johor

JENAZAH Sultan Iskandar dibawa ke Istana Besar dari Hospital Pakar Puteri, semalam.
Keranda yang membawa jenazah Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail bersalut kain kuningdibawa keluar dari Hospital Pakar Johor Bahru di Larkin malam ini. - Foto oleh Abdul Rahman Embong (mstar)

Rakyat berkabung 7 hari; Semua majlis rasmi dibatal; Pemasyhuran sultan baru hari ini

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, yang memerintah Johor hampir tiga dekad, mangkat pada jam 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Pejabat Kerajaan Negeri, Bukit Timbalan, kira-kira jam 11.30 malam tadi.


Baginda yang meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 putera dan puteri, akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, kira-kira jam 2 petang ini.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada jam 11.30 pagi Jumaat, 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981. Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Terdahulu, di Istana Besar di sini, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad, mengumumkan pelantikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail sebagai Pemangku Raja.

Pelantikan itu dibuat mengikut Fasal 9(1)(b) dan 9(2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.

Abdul Ghani pada sidang akhbarnya, berkata pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor pada jam 1 tengah hari di Istana Besar sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau turut mengumumkan hari ini cuti umum untuk seluruh negeri Johor dan semua majlis rasmi termasuk hiburan serta keramaian dibatalkan, manakala tempoh berkabung ialah selama tujuh hari dengan semua bendera negeri dikibarkan separuh tiang bermula jam 6 pagi hingga 6 petang.

Abdul Ghani berkata, baginda dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangkat pada jam 7.15 malam tadi.

Katanya, manakala Istiadat pemakaman Diraja akan bermula pada jam 9 pagi ini di Dewan Besar Istana Besar di sini, dengan orang ramai boleh menziarahi jenazah sehingga jam 10.30 pagi.

Menteri Besar berkata, mulai 11 pagi hingga 12 tengah hari pula adalah penghormatan terakhir untuk orang kenamaan dan kerabat Diraja.

Beliau berkata, jenazah Almarhum akan dibawa dari Istana Besar pada jam 1.30 tengah hari sebelum disembahyangkan di Makam Diraja, Bukit Mahmoodiah pada 2 petang.

Abdul Ghani yang baru pulang dari mengikuti lawatan Perdana Menteri di India, berkata semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan majlis tahlil selama tujuh hari se lepas istiadat pemakaman jenazah.

"Tempoh berkabung bagi kerabat Diraja ialah 40 hari manakala rakyat biasa selama tujuh hari," katanya.

Peraturan berkabung bagi lelaki Melayu ialah bersongkok lilit putih dua inci manakala bagi bangsa lain ialah kain hitam lebar tiga inci di lengan kiri.

"Bagi upacara pemakaman, lelaki Melayu berbaju Melayu teluk belanga serba hitam dan lilitan kain putih di songkok hitam dan bagi lelaki bukan Melayu, sut hitam bertali leher dan kain hitam tiga inci di lengan kiri," katanya.

EDISI KOSMO

Almarhum Sultan Iskandar dimakamkan hari ini




JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 78, mangkat malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini pada pukul 5 petang kelmarin kerana gering.

Baginda yang memerintah Johor selama hampir tiga puluh tahun mangkat pada pukul 7.15 malam.


ALMARHUM Sultan Iskandar (dua dari kiri) bersama Raja-raja Melayu (dari kiri), Tuanku Mizan Zainal Abidin, Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menghadiri majlis sambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah di Alor Setar pada 22 Julai 2008.


Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada sidang media di kediamannya di sini.

Sebelum itu, pada sebelah petang, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dilantik sebagai Pemangku Raja berikutan kegeringan ayahandanya.


ABDUL GHANI ketika mengumkan kemangkatan Sultan Iskandar di Johor Bahru malam tadi.


Jenazah Sultan Iskandar dibawa ke Istana Besar di sini menaiki ambulans hospital pada pukul 11.20 malam.

Istiadat pemakaman akan diadakan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini pada pukul 2 petang ini.

Sejam sebelum itu, majlis pertabalan sultan baru akan diadakan di Istana Besar sebelum jenazah baginda dimakamkan.

Tunku Ibrahim pewaris takhta berjiwa rakyat


KUALA LUMPUR: Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Pemangku Raja Johor hari ini, adalah seorang pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan.

Mewarisi sifat prihatin ayahanda baginda, putera sulung Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, itu bukan hanya mempunyai latar belakang akademik dan pencapaian membanggakan tetapi baginda juga cukup disenangi kerana keperibadian yang menawan hati rakyat.

Mesra disapa sebagai TMJ (Tengku Mahkota Johor), Tunku Ibrahim, 51, cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti berteraskan kerja-kerja sosial yang diilhamkan baginda sejak 2001.

Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu yang dijadikan acara tahunan, membawa baginda dan rombongan pengiringnya terdiri daripada Menteri Besar dan pegawai negeri lain ke semua lapan daerah di Johor yang menyaksikan Tunku Ibrahim dan rombongan melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi.

Sikap prihatin dan kesungguhan baginda untuk turun padang bagi melihat sendiri kehidupan dan menyelami susah senang masyarakat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra rakyat.

Semasa kembara pertamanya pada 2001, Tunku Ibrahim tidak kekok untuk mendokong dan mendodoikan seorang bayi yang terlentuk di bahu baginda.

Ketika melawat Kampung Temiang di Muar, baginda sempat menjamah ubi rebus yang menjadi makanan rakyat dengan begitu berselera serta memuji pembuat sambal ubi rebus, iaitu seorang nenek yang terharu dengan pujian Tunku Mahkota Johor.

Kesungguhan baginda untuk merasai kehidupan seharian rakyat jelata di situ jelas terserlah apabila pada satu ketika baginda meneguk air tebu dalam bungkusan plastik yang dihulurkan oleh seorang penduduk.

Tidak bersendirian, aktiviti turun padang itu memecah tembok pemisah antara istana Johor dan rakyat apabila Tunku Ibrahim turut membabitkan isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, dan putera-puteri baginda dalam ekspedisi itu.

Tunku Ibrahim yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman. Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

unku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor, dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia, pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Pewaris takhta itu menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika.

Sekembalinya baginda ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta. - Bernama

Sultan Johor mangkat


TERKINI Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat pada jam 7.08 malam ini di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru. Baginda berusia 77 tahun.

Pengumuman kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

Baginda dikejarkan ke Hospital Pakar Puteri, pagi tadi kerana gering.

Sultan Iskandar meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.

Baginda yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

( malaysiakini )

Sunday, January 10, 2010

Lebih 3,000 Pelabur Tertipu RM25 Juta Dalam Skim Ternakan Cacing








( gambar hiasan )

KULIM: Tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan oleh penganjur skim pelaburan penternakan cacing di sini, kirakira 3,000 pelabur kerugian lebih RM25 juta apabila penganjur melarikan lari.

Malah pejabat penganjur skim itu, Kulim Worms Agrotec (KWA)(M) Sdn Bhd di Kilang Lama di sini, disita pemilik bangunan awal Disember lepas kerana tidak melunaskan sewa hampir RM10,000.

Setelah merasa tertipu, lebih 200 mangsa skim tersebut membuat laporan polis di balai polis di sini sejak awal bulan ini.

Dalam sidang media oleh mangsa skim tersebut di hadapan premis KWA di sini hari ini, pelabur dari Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak itu mendakwa melabur antara RM5,000 dan RM3 juta sejak Jun 2008.

Menurut risalah KWA, syarikat itu menjalankan penternakan cacing dan penghasilan baja vermikompos organik dengan usahasama Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB).

KWA membuka tujuh cawangan iaitu di Sungai Petani, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Butterworth dan Tunjang di Kubang Pasu dengan Kulim sebagai cawangan utama bagi memudahkan orang ramai melabur dalam skim yang disediakan.

Ketua Polis daerah Kulim Supritendan Ghuzlan Salleh yang dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pelabur skim terbabit dan berkata polis sedang menyiasat kes itu.

Sementara itu, dua pesara mendakwa melabur RM150,000 hasil simpanan dan gratuiti mereka sejak September tahun lepas.

Pesara Jabatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Shahibul Kiraya Haliman Shah, 56, berkata dia melabur sebanyak RM35,000 manakala bekas guru, Omar Ismail melabur RM115,000 setelah dijanjikan pulangan bulanan sebanyak 3.3 peratus.

"Saya turut melabur RM15,000 untuk menternak cacing setelah mengikuti kursus anjuran KWA dan setakat ini hanya mendapat pulangan berjumlah RM20,000 iaitu bayaran untuk September dan Oktober lepas," kata Omar.

Tuesday, January 5, 2010

KURSUS PENANAMAN CENDAWAN TIRAM KELABU PADA JANUARY 2010

ANJURAN : SAIFULAM AGRO FARM
LOKASI : KAMPUNG PT HASSAN,82200,BENUT,PONTIAN,JOHOR
TARIKH : 30/01/2010 SABTU
MASA : 9.00PG - 5.00PTG
YURAN : RM200

-KURSUS DIJALANKAN 100% PRAKTIKAL
-MAKANAN DAN MINUM DISEDIAKAN SEPANJANG KURSUS DIJALANKAN
-SIJIL,VCD PENANAMAN CENDAWAN,KIT CENDAWAN DAN NOTA DIBERIKAN
-TERHAD KEPADA 15 PESERTA SAHAJA

( UNTUK PENGESAHAN KURSUS BOLEH MENGHUBUNGI AM-0137501589 DAN MEMBUAT BAYARAN KE AKAUN MAYBANK ATAS NAMA NOORSAIFUL AMRI BIN SULOH - 151584028489 )