Oleh hasnurul mohamed
SERDANG 3 Jun - Bukan mudah bagi pengusaha cendawan tiram kelabu, Zainon Ariffin, untuk memasarkan hasil tanamannya itu ke mana-mana pasar raya besar di Selangor.
Secara terus-terang, dia memberitahu, pernah cuba untuk memasarkan hasil tanamannya itu ke pasar raya Giant.
''Apabila berbincang dengan pihak pengurusan Giant, dia menyebut tentang 'rebat'. Katanya kepada saya, Giant akan mengenakan rebat ke atas produk saya.
''Saya pula tidak begitu faham dengan apakah yang dimaksudkannya itu. Apa yang saya tahu, kalau ditolak rebat, saya tiada untung. Jadi, saya batalkan sahaja niat nak tembusi pasaran Giant,'' katanya ketika ditemui di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang di sini baru-baru ini.
Sebagai Pengarah Urusan Genting Permai Resources, Zainon pernah juga cuba untuk memasuki pasaran Jaya Jusco tetapi syarat yang diletakkan agak membebankan.
Ini kerana, katanya, pasar raya besar di seluruh negara mahu pengeluaran cendawan dilakukan secara besar-besaran.
''Mereka mahu kita tanam dan hasilkan dalam jumlah yang besar kerana tidak mahu bekalan cendawan itu terputus.
''Malangnya, penanam cendawan berada di merata tempat dan lokasi mereka yang jauh serta pengangkutan yang mengambil masa menyebabkan tempoh hayat cendawan itu tidak mampu bertahan lama,'' katanya.
Justeru, katanya, agak sukar baginya untuk memasarkan cendawan segar ke pasar raya besar.
Beliau menambah, sebagai pengusaha kecil dalam bidang pertanian, dia turut cuba membantu penanam cendawan lain untuk memasarkan hasil pertanian.
Sehubungan itu, katanya, dia bertindak sebagai 'pemborong' dan terpaksa pula menjual cendawan melalui orang tengah.
''Masalahnya, apabila kita menggunakan orang tengah untuk menjual hasil tanaman ini, harganya tidak menentu,'' katanya.
Dia memberitahu, orang tengah akan membeli cendawan pada harga RM7 satu kilogram (kg) manakala jika dapat dijual terus kepada peruncit, harganya ialah RM13 satu kg.
Oleh itu, dia berkata, penanam cendawan tempatan pasti boleh memasuki pasaran pasar raya besar di seluruh negara sekiranya ada satu ketua pasukan yang boleh menawarkan perladangan secara kontrak kepada para penanam cendawan.
Hello world!
5 months ago
No comments:
Post a Comment