Monday, April 12, 2010

Utusan - Cendawan gamit pelancong Singapura


R. Azmi Buang bersama isterinya, Rozita Ahmad mengusahakan tanaman cendawan di Kampung Sinaran Baru, Skudai, Johor Bahru.


JOHOR BAHRU 11 April – Sebut saja cendawan, pasti ramai yang mengakui ia merupakan sayuran digemari masyarakat tempatan. Ini kerana, ia kaya dengan serat dan pelbagai vitamin. Menyedari hakikat itu, seorang pengusaha di Lorong Manggis, Kampung Sinaran Baru, Skudai di sini, R. Azmi Buang, 45, nekad mengusahakan tanaman itu secara komersial dengan mendirikan 10 bangsal.

Selain menjadi pengeluar dan pembekal cendawan segar, dia turut memberi kursus mengenai tanaman itu kepada golongan yang berminat mengusahakannya.

Azmi berkata, perusahaan itu yang dimulakan pada 1986 dengan sebuah bangsal kini berkembang kepada 10 bangsal yang mampu menampung sebanyak 60,000 bongkah cendawan.

Menurutnya, berikutan sambutan menggalakkan perusahaan yang diberi nama Mushroom Biotech Enterprise itu mengorak selangkah lagi dengan memperkenalkan konsep agropelancongan sejak Februari 2007.

Katanya, perusahaan itu kini mampu menjadi tarikan pelancong khususnya dari Singapura.

“Menerusi perusahaan ini, pakej pelancongan yang kami tawarkan adalah sarapan pagi yang menyediakan nasi lemak, dua kuih tradisional dan minuman serta cendawan goreng dengan bayaran RM8 seorang.

“Sambil menikmati juadah sarapan pagi, pelancong boleh melihat bagaimana proses pertumbuhan cendawan serta tumbuhan herba yang lain,” katanya sambil memberitahu kira-kira 10 buah bas persiaran membawa pelancong melawat kebunnya setiap hujung minggu.

Adakalanya jumlah itu meningkat antara 70 hingga 100 buah bas sebulan terutama pada musim cuti sekolah dan sebahagian besar pelancong ialah warga Singapura yang ingin melihat keindahan semula jadi kampung.

Menurutnya, di kampung tersebut, pengunjung juga boleh melihat rumah tradisional, pelbagai pokok buah dan ternakan.

“Sebagai tarikan baru saya telah membina sebuah inap desa yang diperbuat daripada kayu dan dinamakan Indahkurnia yang menawarkan sewa RM400 semalam.

“Di rumah itu kita sediakan dua bilik tidur, satu ruang tamu, ruang dapur yang dilengkapi peti sejuk, dapur memasak dan mesin basuh dan mampu menampung kira-kira 20 pengunjung,” katanya.

Azmi berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutamanya bagi mereka yang memerlukan rumah persinggahan untuk menghadiri majlis perkahwinan sanak saudara atau kenalan.

Bagi menguruskan perusahaan itu, Azmi dibantu isterinya, Rozita Ahmad, 38, dan 10 pekerja.

Katanya, setelah melibatkan diri dalam industri penanaman cendawan sepanjang 25 tahun, dia menyedari produk itu mempunyai nilai tambah yang tinggi dijual antara RM6 hingga RM10 sekilogram.

Sementara itu, seorang pelancong Singapura, Lay Choo, 62, mengakui telah tiga kali berkunjung ke kampung itu untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan menikmati nasi lemak serta cendawan goreng yang enak.

“Saya suka suasana kampung sebab tenang dan nyaman. Di Singapura mana ada jumpa kawasan macam ini,” katanya.

Antan Tan, 63, dari Kampung Melayu, Gelang Serai, Singapura turut mengakui merindui suasana seumpama itu.

“Kalau saya masuk Malaysia saya mesti cari kawasan kampung-kampung seperti di Batu Pahat, Muar dan Melaka yang masih kekal suasana kampung dan belum tercemar.

“Dekat sini saya boleh makan semua makanan yang segar seperti cendawan goreng, air kelapa, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan, " katanya.

No comments: